Showing posts with label ayam. Show all posts
Showing posts with label ayam. Show all posts

Wednesday, 11 November 2020

Ayam Meraung

Assalamualaikum...

Kali ini saya nak berkongsi resepi ayam meraung. Resepi ini memang asyik lalu lalang di wall FB saya. Lihat gambar yang dikongsikan pun saya hampir meraung teringin. ekekekekeke.. So tanpa membiarkan raungan menjadi lolongan, apa lagi teruslah saya cuba. hahahahahah

Jom lihat resepi ya. Resepi ini saya ambil kat laman rasa. Boleh google nanti ya

Bahan-Bahan untuk perapan ayam

Ayam bahagian dada atau peha macam ayam chicken chop ada kulit sesikit
Akar ketumbar
Bawang putih
Gula perang
Sos ikan
Kicap pekat
Lada sulah
Lada hitam
Minyak

(semua bahan ini saya agak-agak saja, bergantung pada banyak mana yang kita nak buat)

Cara membuatnya

1. Kisar semua bahan dan lumur pada ayam. Perap sekurang-kurangnya 3 jam. 
2. Saya perap lebih kurang 5 jam dan simpan dalam chiller. 30 minit sebelum bakar saya keluarkan ayam yang diperap tadi. 
3. Untuk membakar, panaskan non-stick pan, oleskan sedikit minyak dan bakar dengan api kecil sehingga masak.


Untuk sos pula bahan-bahannya ialah

Sos ikan
Air asam jawa
Perahan limau nipis
Gula kabung/nissan thai
Serbuk chili kisar
Beras goreng
Daun ketumbar (dicincang)
Akar ketumbar (dicincang)
Cili padi (dicincang)
Bawang merah (dicincang)
Bawang putih (dicincang)

Cara menyediakannya

1. Masukkan semua bahan dalam mangkuk dan kacau sebati. Perasakan mengikut citarasa biar ada masam, manis, masin, pedas. 

Saya sangat suka sos ni, lebih-lebih lagi kalau letak daun ketumbar lebih. Aromanya memang luar biasa. Ada yang tanya saya ayam meraung ni makan dengan nasi atau ratah saja? Jawapannya terpulang pada masing-masing. Memandangkan saya ni perut nasi so makanlah dengan nasi. Makan ayam ni saja ketar lutut nanti tahan lapar. hahahahahahahah.. 

oh ya, ayam ni boleh juga ganti dengan daging. Dedua sedap!!! Selamat mencuba, jom meraung bersama.. Takkan meraung tengok gambar je, kihkihkihkih.. 


Tuesday, 20 January 2015

Rendang Ayam Mudah

Lamanya rasa tak tulis resepi. Bukan bermaksud saya tak update sini saya tak masak. Memang selalu masak, tapi nak ambil gambar tu yang sukar sedikit, campur malas pun ya. Dulu suka guna kamera gajah, sekarang guna telefon sahaja, tu gambar tak berapa cun tu. Tapi oklah dari tak ada langsungkan. 

Hari ini saya ingin berkongsi resepi rendang ayam mudah, kegemaran anak saya. Memandangkan seleranya bermusim, so memang dua tiga minggu ni asyik buat rendang ayam sahaja! Sampai rasa macam dah naik muak tengok. Tapi itulah permintaannya. Siap bawa bekal ke sekolah lagi. Eheheheheheh.. Oh ya, anak dah masuk darjah satukan, mama dia kenalah rajin masak untuk bawak bekal ke sekolah. 

Buat rendang ni mudah je tau. yang ini saya buat dalam kuantiti yang kecil, dalam 2-3 ketul ayam. Jom lihat resepinya

Ni gambar masa ayam amsih atas dapur, tengah menggelegak. hehehehe


Bahan bahan:
1/4 ekor ayam (2-3 ketul)
2 biji bawang besar *
3 ulas bawang putih *
1 inci halia*
1 batang serai - titik
1 -2 sudu cili kisar - ikut suka pedas
Kayu manis, buah pelaga, bunga lawang
santan (RM1.00-RM2.00)
1 keping asam keping
Garam 
Gula
Sedikit daun kunyit dihiris – opsyenal
2-3 helai daun limau purut - opsyenal
Sedikit kerisik - opsyenal utk warna gelap

Bahan bertanda * dikisar lumat

Cara cara:
1. Panaskan minyak dan tumis rempah penumis sehingga naik bau. Masukkan bahan kisar dan juga serai yang dititik sehingga wangi.  Kemudian masukkan cili kisar dan daun limau purut. Tumis sehingga cili benar-benar garing.
2. Masukkan ayam dan gaul rata sehingga ayam menjadi kecut. Masukkan sedikit santan bagi membolehkan ayam masak. Selepas itu, baru masukkan semua santan dan masak dengan api yang perlahan sahaja. 
3. Akhir sekali, masukkan kerisik, garam, gula dan asam keping secukup rasa. Kacau sebati. Masak sehingga kuah kering dan pecah minyak. Kemudian, taburkan daun kunyit yang dihiris halus. Bila semuanya dah sebati, bolehlah ditutup api. Siap!

Selamat mencuba! 

Thursday, 2 October 2014

Sticky caramel chicken

Abang Zarin tersangat sukakan chicken wing. Selalu kami order kat dominos. Satu pack tu habis dia makan. So baru-baru ni tertengok resepi sticky caramel chicken ni. Jadi teruslah saya mencuba. Wallah! sedap sangat. Resepinya pun mudah saja. 

Jom intai resepinya.. 




Sumber resepi: mutiarazura@myresipi

12 keping kepak ayam (belah dua jadi 24)
2 sudu besar minyak masak
3 ulas bawang putih - diketuk dengan kulitnya sekali (tak perlu kupas)
1 sudu besar halia dicincang
1 sudu besar sos ikan
1 sudu besar kicap
1 sudu besar sos cili
1/4 cawan (60ml) madu

Cara-cara

1.Panaskan minyak dalam kuali. Masukkan bawang putih, halia dan chicken wings, kacau dan goreng selama 5 minit.
2.Masukkan semua sos dan madu, kacau sekejap, kemudian tutup kuali. Kacau sekali-sekala selama 15 minit atau sehingga semua wings masak dan browned (bersalut dengan sos).

3. NOTA : Bila dah masuk madu, sos akan berbuih. Jangan takut bila tengok sos macam hangit towards the end. Bila sos dah agak kering dan bersalut pada wings ia akan jadi sticky dan caramelized macam barbecue chicken. 

Nota lagi : Pastikan api tidak terlalu kuat bila memasak ayam ni, dan kacau kan sos dan ayam tu selalu, biarkan sebati supaya  permukaan bawah tidak terlalu hitam.

Selamat Mencuba. 


Monday, 30 June 2014

Ayam goreng berempah

Assamualaikum. Masih tidak terlambat untuk saya ucapkan selamat berpuasa kepada semua kawan-kawan. Semoga Ramadan kali ini lebih baik daripada sebelumnya. Amin. Insyaaallah.

Macam mana dengan menu berbuka semalam? saya sekeluarga hanya memasak nasi daging dan juga seangkatannya. Ok, kalau nak resepi Nasi daging bolehlah klik. 

Sebelum ini kalau masak nasi daging saya suka makan dnegan kurma daging. tapi kali ini ada perubahan sikit. Saya masak lauk telur kurma, Ayam goreng berempah dan juga sayur campuran. Alah, salad sayur macam nasi arab tu.  Tapi hari ini saya hanya nak share resepi ayam goreng berempah yang mudah dan sedap ini. 

Jom tinjau resepinya ya..   




Bahan-bahan

1/2 ekor ayam (potong ikut suka) dibasuh bersih dan toskan

Bahan untuk diblend

1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1-2 inci lengkuas
1-2 inci halia
4-5 batang serai
1 sudu besar jintan putih

Bahan lain

1 sudu besar kunyit serbuk
1 sudu besar cili boh/giling
1 sudu kecil serbuk kari daging/ayam
1 tangkai daun kari
garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya

1.  Campurkan Bahan yang telah diblend tadi bersama-sama dengan kunyit serbuk, cili boh/giling
serbuk kari daging/ayam, dan juga garam serta gula secukup rasa. Carikkan daun kari dan gaul sebati. 
2. Apabila semuanya telah sebati, gaulkan pula pada ayam yang telah dipotong tadi. Perapkan selama lebih kurang satu jam atau lebih, (saya perap hampir 4 jam - Masukkan didalam tupperware dan simpan di dalam peti.) supaya rempahnya lebih mesra.
3. Panaskan minyak di dalam kuali, dengan api perlahan, goreng ayam yang telah diperap tadi sehingga garing. Kena selalu balik-balikkan ayam. Lagi satu serdak-serdak tu juga kena sentiasa angkat supaya tak hangit dan apabila menggoreng ayam untuk kali kedua, serdak hitam tidak terlalu terlekat pada yang yang baru digoreng.

Tips : Untuk dapatkan serdak yang panjang-panjang dan cantik, serai dipotong tidak terlalu halus. Maknanya hanya potong dua sahaja serai sebelum diblend. 

Selamat mencuba! 


Tuesday, 16 July 2013

Ayam percik

Ayam percik oh ayam percik. Menu inilah yang saya idamkan semasa mengandungkan Sofea dahulu.  Taknak ayam percik yang dibeli, tapi nak yang macam kakak saya masak masa kecik-kecik dulu. 



Sayangnya bila saya call kakak, dia pun dah terlupa apa resepinya sebab dah lama tak buat. Sudahnya saya call makcik saya di Terengganu untuk dapatkan resepinya. Jadi inilah resepi ayam percik versi saya. Cepat, mudah, sedap! ( sedap ikut selera sayalah). 

Jom tengok resepinya 


Bahan-bahan

½ ekor ayam
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 sudu besar cili kisar
1 inci halia
1 biji kelapa diambil santannya
3-4 batang serai diketuk
Garam



Cara membuatnya

1.  Potong ayam ikut kesukaan masing-masing dan bersihkan. Tak nak potong pun tak apa. Lumurkan garam dan kunyit, kemudian bakar sehingga masak. (saya guna pemanggang ajaib)

Untuk kuah percik

1. Blendkan bawang merah, bawang putih dan halia sehingga hancur. Kemudian tumiskan bahan tadi sehingga naik bau. 

2. Selepas itu, masukkan cili boh dan goreng lagi sehingga pecah minyak.

3. Bila semua dah sebati, masukkan santan dan sentiasa kacau supaya santan tidak berketul.

4. Apabila santan sudah hampir masak dan likat, masukkan serai yang telah diketuk. Kacau lagi dan lagi.

5. Selepas itu, masukkan nissan/ gula merah/gula kabung /gula (mana-mana pun boleh) dan juga garam secukup rasa. Apabila telah sebati, kacau lagi dan pastikan kuah percik tadi pecah minyak dan pekat.  Bila dah nampak semuanya ok dan seperti yang dikehendaki, bolehlah tutup api. 

6. Ambil ayam yang telah dipanggang dan gaulkan dalam kuah percik hingga sebati. Siap untuk dihidangkan 




Mudah bukan, selamat mencuba. Bulan puasa ni kena cari resepi yang mudah cepat sedap! bye!

Wednesday, 3 August 2011

Ayam Mamak

Baru 2 hari menjalani ibadah puasa, saya sudah buntu untuk memasak apa. tahun ini saya berazam untuk memasak sendiri hidangn berbuka, dan tidak lagi membeli lauk-pauk di bazar ramadan seperti kebiasaan tahun-tahun sebelumnya.

Semalam saya pening juga kerana bahan basah yang ada dirumah hanyalah ikan dan ayam. Takkan nak masak sup, baru je masak, masak kicap, masak merah, pun baru juga. Akhirnya google la resepi berkaitan ayam.

Hasilnya saya berkenan satu menu dari Kak Nor Secubit Garam iaitu, ayam mamak. Saya pastekan resepinya di sini ya :)


UDANG MAMAK by Soda Hikari
sumber: HanaMemories , K.Rose
sumber: SecubitGaramNor67

Bahan-bahan
1 kilo udang - kalo udang galah, lagi terbaekk punya
2 biji limau nipis - ambil jusnya
1 biji bawang besar - cincang
1 biji bawang putih - cincang
1 cm halia muda - tumbuk
1 batang serai - di ketuk
1/2 cawan air/stok ikan
1 susu besar sos tomato
1 sudu besar sos cili
1 sudu besar serbuk kari ikan - k.nor letak 2 sb
1/2 sudu kecil serbuk lada hitam
1 senduk gulai cili kisar ~ k.nor letak 3 sb
2 tangkai daun kari
4 helai daun pandan
Garam, gula serbuk lada sulah

Cara-cara
Perapkan udang dgn garam, serbuk lada sulah & jus limau untuk seketika.
Panaskan minyak, goreng udang hingga masak, ketepikan.
Dalam kuali berasingan, tumis bawang besar, daun pandan, daun kari hingga naik bau.
Masukkan bawang putih, halia, serai, serbuk kari & cili kisar, goreng seketika.
Masukkan sos tomato, sos cili, serbuk lada hitam, stok ikan, garam, gula secukup rasa, gaul sebati.
Last, masukkan udang, balik2 kan & tutup api.

K.Nor guna 650gm udang jer dan sukatan bahan2 lain semua ikut resipi.
Saja tak kurangkan sukatan bahan2 lain supaya dpt lebih gravy.
1/2 dr perahan jus limau tu k.nor gaul dgn udang dan 1/2 lg k.nor masukkan dlm kuah.

**
Saya gantikan udang dengan ayam. 1/4 ekor ayam. Bahan-bahan 100% ikut resepi yang diberikan :)

Alhamdulilah, sedap sangat, rasa macam makan kat kedai mamak pula, pedas, wangi, harum dan sangat sedap!

Thursday, 2 June 2011

Ayam masak kicap

Ayam masak kicap merupakan kegemaran kami sekeluarga. Bukan saja ayam, tapi apa saja yang guna kicap pasti sedap. Kalau suami saya lagi syok, makan nasi lauk apapun seakan tak lengkap jika tak curah kicap. Huhuhuhuhu. Dan inilah rupa ayam masak kicap bila hantu kicap mula berkecah kat dapur. Heheheh


Masak kicap orang kata senang saja. Namun begitu ada pelbagai versi mengikut selera masing-masing. Dan ini pula ayam masak kicap versi saya.

Bahan-bahan
¼ ekor ayam (dipotong kecil)
4 ulas bawang merah (dikisar)
3 ulas bawang putih (dikisar)
1 inci halia (dikisar)
1 biji bawang besar dipotong bulat
1 biji cili merah dipotong serong
½ sudu kecil kiub ayam
2 sudu cili giling
1 sudu kicap manis
2 sudu kicap pekat
1 sudu kicap masin
1 sudu kicap cair
Minyak untuk menumis
Sedikit air

Cara-cara membuatnya
1.Goreng ayam dengan garam kunyit dan ketepikan.
2.Tumis cili giling sehingga pecah minyak atau masak. Kemudian masukkan bahan yang telah dikisar, kacau sehingga naik bau.
3.Selepas itu masukkan, 1 sudu kicap manis,2 sudu kicap pekat, 1 sudu kicap masin,1 sudu kicap cair dan juga ½ sudu kecil kiub ayam. Kacau hingga sebati. Kemudian masukkan sedikit air.
4.Apabila telah pekat, masukkan bawang besar dan cili merah, kacau seketika dan kemudian masukkan ayam goreng. Kacau sebati  dan biarkan sehingga kuah kicap pekat dan serasi dengan ayam goreng. Kemudian boleh masukkan sedikit garam seandainya perlu.
5.Taburkan daun sup dan daun bawang dan siap untuk dihidangkan.


Kalau saya masak lauk ini, memang tak perlu lauk tambahan lain dah. Cuma lengkapkan dengan hidangan sayur campur. nyum-nyum...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...