Showing posts with label sup. Show all posts
Showing posts with label sup. Show all posts

Tuesday, 24 December 2013

Sup Daging Mudah

Sup memang kegemaran saya. Tapi semenjak dua menjak ini Zarin kurang sikit nak makan sup ni, dia lebih sukakan yang pedas-pedas macam masak merah. Jadi Jaranglah pula masak sup. Semalam Mr. papa request nak makan sup daging sebab tak berapa sihat. So saya yang menurut perintah teruslah gigih memasaknya. ^_^

Memasak sup pun ada pelbagai cara, terpulang kepada cara masing-masing. Ini pula cara saya.

BAHAN-BAHAN:

daging lembu di potong nipis (berapa banyak ikut sukalah)
2 biji kentang
1 biji tomato
1 batang celery
Garam secukup rasa
½ kiub pati lembu
1 sup bunjut adabi
Air mencukupi sehingga daging tenggelam dalam periuk


BAHAN-BAHAN TUMIS :

1 batang kayu manis
3 biji bunga cengkih
1-2 biji bunga lawang
3 biji buah pelaga
*1 biji bawang besar
*4 ulas bawang putih
*4 cm halia

Semua bahan-bahan bertanda * ditumbuk atau dikisar halus

BAHAN HIASAN :

Daun sup dan daun bawang dipotong halus
Bawang goreng
Cili padi dipotong
Limau nipis


CARA MEMASAK :

1. Panaskan minyak secukupnya, tumis kayu manis, bunga cengkih, biji bunga lawang, buah pelaga sehingga naik bau. Kemudian masukkan bahan bertanda * dan goreng sehingga hampir garing.

2. Masukkan daging gaul rata, selepas itu masukkan air secukupnya dan sup bunjut adabi serta rebus hingga empuk. (kalau air hampir kering boleh tambah air lagi) Kemudian masukkan kentang.

3. Apabila kentang pun dah empuk, masukkan kiub pati lembu, carrot, celery dan tomato serta garam secukup rasa. Biarka sehingga tomato layu kemudian tutup api.


4. Sendukkan ke dalam mangkuk, taburkan daun sup dan daun bawang, cili padi, dan juga bawang goreng serta perahkan limau nipis. Siap untuk dihidangkan. 

Sunday, 22 May 2011

Sup ayam

Sup merupakan lauk kegemaran saya. Bukan saja sup, malah semua jenis masakan yang kuah cair-cair saya suka. Walaupun agak berbeza dengan suami yang lebih sukakan kari, tetapi bila isteri yang masak, sup pun suplah!

Bila ada anak kecil, pasti saya mencari menu-menu yang semua boleh makan. Tak perlu masak dua tiga kali. Takkan hari-hari Zarin nak makan ayam goreng, dah jadi macam upin-ipin lah pulak nanti. kihkihkihkih.


Masak sup sebenarnya sangat mudah. Akan tetapi lain orang lain caranya walaupun kadang-kadang hampir sama. Dan ini pula resepi sup ayam cara saya

Bahan-bahan
1/2 ekor ayam (potong kecil)
3 ulas bawang merah (ditumbuh)
3 ulas bawang putih (ditumbuk)
3 cawan air
1 inci halia (ditumbuk)
1 rempah sup bunjut adabi
1/2 sudu teh kiub ayam
1 biji tomato
2 biji ubi kentang
sedikit minyak menumis
Garam secukup rasa

Cara membuatnya
1. Tumiskan semua bahan yang ditumbuk sehingga naik bau. Kemudian masukkan ayam kacau sebati.Biarkan seketika.
2. Masukkan 3 cawan air (kalau nak kuah lebih boleh masukkan lebih banyak air),1/2 sudu teh kiub ayam, sup bunjut adabi dan ubi kentang dan biarkan mendidih
3. Apabila ubi kentang telah empuk, masukkan garam dan juga tomato,kacau sebati dan kemudian tutup api.

Untuk hiasan
Daun bawang
Daun sup
Bawang goreng
Cili padi  (dipotong kecil)
limau nipis

Taburkan kesemua bahan hiasan tadi dan perahkan limau nipis ke dalam sup dan sedia untuk dihidangkan.


Sup ayam sangat sedap dihidangkan panas-panas, tidak ketinggalan sambal belacan. Terasa tak lengkap jika hidangkan sup tanpa sambal belacan.

Jemput makan :)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...