Tuesday, 26 June 2012

Ketupat sotong terengganu

Baru-baru ini, ketika singgah di kedai barang basah, terpandangkan sotong yang segar bugar. Zasss, terus datang idea nak buat ketupat sotong. tamabhan pula dah lama tak makan.


Sebenarnya ketupat sotong ni ada dua versi. kalau versi terengganu rasanya lemak masin, manakala kalau versi kelantang rasanya manis. Memandangkan saya orang terengganu, jadi ketupat sotong yang saya buat ini adalah versi terengganu ^_^



Sebenarnya tak susah pun nak buat ketupat sotong ni. Ehehehehehehe, tak susah ke? Padahal masa kat kedai tu riuh bunyi suara saya tanya ummi resepi ketupat ni. Biasalah, setiap kali memasak, chef di kampung juga yang di telefonnya.

Ok, jom kita lihat resepinya.

 Bahan-bahan
- 4 ekor sotong, dibuang kepala, kulit dan tulang belakang.
- 1/2 pot beras pulut.
- 2 ulas bawang merah dimayang.
- 1 inci halia diracik halus,
- setengah sudu kecil halba
- 1 biji kelapa diambil santannya.
- garam secukup rasa.
- Pencungkil gigi – lidi
- sedikit air




Cara membuatnya.
1. Rendam beras pulut dengan sedikit santan (lebih kurang 30 minit-1jam).
2. Masukkan pulut dalam sotong lebih kurang 3/4 penuh. Kemudian cucuk dengan lidi di atasnya supaya beras pulut tak keluar.
3. Ambil periuk, masukkan sotong yang telah disumbat itu, tuangkan santan dan air sehingga sotong tenggelam. Masukkan bawang merah dan halia. Masak dengan api perlahan.
4. Apabila santan telah pecah minyak, masukkan halba dan garam secukup rasa. Kacau seketika hingga sebati. Apabila sotong telah menjadi kembung, dan santan hanya tinggal ¾, tutup api dan bolehlah dihidangkan.

Mudah bukan? selamat mencuba, pasti puas hati :)

Monday, 25 June 2012

Kari ikan bawal

Assalamualaikum. Rasanya sudah lama saya tidak menulis resepi di sini. Untuk pengetahuan, kesihatan saya tidak berapa baik dan mood untuk ke dapur dan memasak sangatlah tidak ada sekarang ini. Sob-sob. Serius, memang banyak yang saya ingin kongsikan dengan kawan-kawan. Insyaallah jika keadaan saya telah pulih dan pasti akan saya updatekan resepi di sini.

 Hari ini saya ingin kongsikan satu resepi yang tengah menjadi kesukaan saya sekarang iaitu kari! Kali ini kari ikan bawal. Haaa, selera pun bermusim juga tau. Masak sendiri taklah berapa selera nak makan, tapi kalau bau masakan dari rumah jiran, masyaallah rasa nak pergi ketuk pintu bawa pinggan minta sepinggan! ^_^

Oklah, taknak berceloteh lagi, jom lihat resepinya :)


Bahan-bahannya:-
• 1 ekor ikan bawal (dilumur garam)
• 1 paket serbuk kari ikan cap o (anda boleh guna apa-apa jenis serbuk kari yang disukai)
• 6 biji kacang bendi
• 1 biji tomato dipotong 4 @ 6
• 1 kotak santan
• Sedikit air asam jawa
• 2 tangkai daun kari
• 1 paket rempah tiga sekawan (kayu manis, buah pelaga, bunga lawang)
• 2 cawan air @ secukupnya (ikut suka anda)
• 1 sudu besar minyak masak
• garam secukup rasa

Bahan kisar
• 5 biji bawang merah
• 3 ulas bawang putih
• 1 inci halia

Cara-caranya:-
1. Goreng ikan bawal terlebih dahulu dan ketepikan.
2. Masukkan serbuk kari,1/2 bahan dikisar dan sedikit air ke dalam mangkuk dan bancuh sehingga jadi pes. Biarkan ia sebentar supaya bahan-bahan mesra bersama.
3. Panaskan satu sudu besar minyak, kemudian masukkan bahan tumis, rempah tiga sekawan (kayu manis, buah pelaga, bunga lawang), daun kari dan biarkan ia sehingga naik bau.
4. Masukkan pes serbuk kari serta air asam jawa dan perlahankan api. Biarkan ia mereneh sehingga naik minyak selama 10 hingga 15 minit. Tutup tudung periuk dan sesekali kacau supaya bahan tumisan tak hangit.
5. Masukkan santan dan baki air serta ikan. Masak lagi selama 10 minit.
6. Masukkan kacang bendi, tomato dan garam. Masak sehingga bendi lembut.
  7. Angkat dan hidangkan.

*** Ikan bawal tu saya goreng terlebih dahulu, kerana saya suka isi yang keras dan rangup. Kalau kawan-kawan taknak goreng dahulu, sila abaikan cara no.1 dan waktu memasak ikan itu dilebihkan kepada 15-20 minit.

Selamat mencuba!

*** Ingatan ikhlas, terima kasih pada yang sudi berkunjung dan menjadi follower di dapur saya ini. Insyaallah, saya pasti melawat dapur dan rumah kawan-kawan tidak lama lagi ;)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...